Anugerah kepada mereka disampaikan dalam majlis Malam Anugerah Sukan 2015 yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) malam tadi.

Pelari pecut kelahiran Terengganu, Harith Ammar dipilih sebagai olahragawan berikutan kejayaannya meraih pingat emas acara 100m dalam temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) 2016 yang berlangsung awal tahun ini.

Lebih membanggakan, catatan 10.74 saat yang dilakukannya ketika itu berjaya mema­dam rekod lama SukIPT, 10.82s milik Mohd. Azhar Md. Ismail dari Kolej Komuniti Pahang yang dicipta pada 2012.

Irene pula dinobatkan atas kejayaannya meraih empat emas, satu perak dan dua gangsa untuk dipilih sebagai Olahragawati SukIPT 2016.

Irene yang kini berada pada tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda jurusan Pengurusan Sukan berkata, anugerah yang diperoleh daripada UM itu meningkatkan motivasinya untuk terus melakar kecemerlangan buat universiti.

“Kejohanan terdekat yang bakal saya sertai adalah Sukan Universiti ASEAN yang bakal berlangsung pada Julai ini di Singapura.

“Saya akan cuba untuk mengharumkan nama UM di peringkat lebih tinggi lagi selepas ini,” kata Irene yang juga atlet triatlon negara.

Selain itu, buat julung kalinya, Pusat Sukan memperkenalkan anugerah Road to Rio untuk menghargai pencapaian dua atlet UM, Pandelela Rinong Pamg dan Wendy Ng yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik yang bakal dilangsungkan di Rio de Janeiro, Brazil Ogos ini.

Pengarah Pusat Sukan, Prof. Dr. Zulqarnain Mohamed menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada atlet UM yang mengharumkan negara dan universiti atas kejayaan melayakkan diri ke pentas sukan terbesar dunia iaitu Olimpik.

“Anugerah ini diperkenalkan untuk julung kalinya sebagai menghargai jasa dan sumbangan dua Olimpian ini dalam mengharumkan nama negara dan universiti atas kejayaan mereka berdua melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.