Sebaliknya episod penalti penentuan yang berulang seperti dua tahun lalu namun kali ini menyebelahi pasukan lawan pula.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang membungakan harapan selepas menundukkan Vietnam 2-1, tiba-tiba dijinakkan Indonesia menerusi penalti 4-3 setelah terikat 1-1 hingga masa tambahan.

Sebutir gangsa yang diharap sebagai sagu hati dalam perlawanan penentuan tempat ketiga turut dilenyapkan oleh Singapura yang menewaskan Harimau Muda 2-1.

Terdahulu mereka menjuarai Kumpulan A dengan menumpaskan Brunei 2-0 dan Laos 4-1 selain seri 1-1 dengan Singapura.

Masalah tonggak pasukan seperti pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor, Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zaharulnizam Zakaria yang dibelenggu kecederaan dikatakan antara faktor utama yang menjejaskan pencapaian kali ini.

Skuad sepak takraw pula hanya memperbaiki sedikit catatan di Indonesia 2011, kali ini mampu menukar warna kepada perak antara regu namun kekal gangsa dalam acara berpasukan.

Gangsa ‘sedekah’ itu diperoleh kerana tiada perlawanan penentuan tempat ketiga dilangsungkan walaupun kalah dalam semua perlawanan liga sepusingan, 0-3 kepada Thailand dan 1-2 kepada tuan rumah dan Indonesia.