Anja, 23, dilihat menitiskan air mata ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku berkumandang, sambil difikirannya mengingati segala kepayahan yang ditempoh demi meraih kejaan.

“Keluarga saya berada di atas dan mereka telah bersama-sama saya menempuhi segala detik sukar, kemenangan saya juga adalah kemenangan mereka.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka, terima kasih kepada rakyat Malaysia dan semua yang menyokong saya. Pingat emas ini bukan untuk diri saya sahaja, tetapi untuk semua orang,” ujar Anja di Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MyNISS) di Empire City, hari ini.

Anja meraih emas dengan catatan 48.448 saat, mengatasi peluncur Thailand, Vorravalan Leechinnaphat yang merangkul perak dengan masa 53.293s.

Malaysia hampir mencipta kejayaan manis dalam acara tersebut apabila Ashley Chin mencatat masa kedua terpantas dalam saingan akhir itu dengan merekod 49.647s, namun dia dikenakan penalti apabila mengasari peluncur Singapura, Cheyenne Goh di pusingan kedua.

Ekoran insiden tersebut, Ashley dikenakan penalti dan membolehkan Cheyenne merangkul gangsa.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan manis meraih emas KL2017, Anja berkata, latihan yang disertai di Korea Selatan, selain berlatih bersama pasukan terkemuka di Hungry serta Itali memberi kelebihan buat dirinya.

Menurutnya, dia sudah lama menantikan saat kejayaan seperti hari ini dan pingat emas yang dimenangi juga untuk rakan-rakannya yang sentiasa memberikan sokongan.

“Ini detiknya untuk anda semua, begitu juga saya. Kepada jurulatih yang sentiasa memberikan dorongan sehingga menjadikan saya seorang atlet seperti hari ini.

“Emas ini juga untuk semua rakyat Malaysia. Jika kita mempunyai impian besar, anda boleh mencapainya. Pingat ini hanyalah sekeping logan namun inilah hasil keringat, air mata dan kerja keras.

“Kejayaan ini bukan sekadar kerana bakat tetapi hasil daripada kerja keras dan pengorbanan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi kategori 500m speed skating lelaki, Mohd. Ariff Rasydan Fadzli, 18, yang tersingkir pada peringkat awal memperolehi gangsa apabila ada atlet dikenakan penalti.

Tarikh lahir: 10 Mac 1994

Tempat lahir: Singapura

Tinggi: 1.66 meter

Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian), Universiti Nottingham

Sukan: Luncur Ais