Dengan empat pingat emas sudah berada dalam tangan - dua menerusi boling manakala sepak takraw serta skuasy masing-masing menyumbang satu pingat emas - baki tiga lagi yang diharap untuk dimenangi terpaksa disandarkan kepada tiga sukan berkenaan dengan skuasy dilihat paling berpotensi.

Pencak silat adalah antara sukan yang sepatutnya menjadi lubuk pingat emas buat negara namun nasib tidak memihak Malaysia dalam sukan subjektif itu apabila menamatkan kempen dengan empat pingat perak dan empat pingat gangsa.

Sebelum ini Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan harapan kepada beberapa sukan utama bagi memburu tujuh pingat emas iaitu menerusi boling, pencak silat, karate, berbasikal dan sepak takraw, namun hanya dua daripada sukan berkenaan berjaya menepati ramalan manakala berbasikal masih meneruskan kempen mereka.

Ketua kontinjen negara Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi mengakui amat kecewa apabila tiada pingat emas dapat diraih di gelanggang pencak silat.

“Kami mengharapkan se­kurang-kurangnya satu pingat emas menerusi pencak silat namun tidak tercapai, kita terima apa jua keputusan walaupun ada isu melibatkan aspek penjurian namun saya enggan mengulas lanjut,” katanya merujuk kepada apa yang berlaku kepada Mohd. Al Jufferi Jamari.

“Masih ada beberapa sukan yang dilhat mampu menyumbang pingat emas dan mana tahu terjun juga mampu melakar kejutan, dan bagi saya ketika ini masih belum masanya untuk panik,” katanya lagi.

Kini Malaysia perlu mengintai peluang menambah pingat emas dalam tiga lagi sukan yang dilihat mempunyai potensi terutama berbasikal trek melibatkan acara pecut atau keirin lelaki yang diwakili jaguh negara Mohd. Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Walau bagaimanapun, kontinjen negara menjangkakan hanya satu pingat emas di velodrom bagi menghidupkan peluang memburu tujuh pingat emas yang bakal menyaksikan pusingan akhir pecut individu dan keirin esok.

Skuad skuasy wanita dilihat sebagai pertaruhan terbaik untuk menang emas di mana Datuk Nicol David dan S. Sivasangari yang mendominasi perlawanan akhir acara individu akan bergandingan dalam persaingan berpa­sukan wanita.

Ketika ini skuad negara berada di landasan betul selepas menamatkan peringkat Kumpulan A selaku pendahulu dan dijangka tidak berdepan masalah untuk ke separuh akhir.

Sementara satu lagi pingat emas diharap mampu dikutip menerusi pelayaran yang akan memulakan persaingan akhir Jumaat ini.

Sekiranya pelayaran dan berbasikal trek berjaya menyumbang pingat emas esok maka kontinjen Malaysia boleh menarik nafas lega sebelum menunggu giliran skuasy menghadiahkan kemenangan.

Skuad hoki lelaki pula boleh menjadi penyelamat pada saat akhir andai berjaya melepasi peringkat separuh akhir menentang India esok.

Dalam kempen Sukan Asia 2014, Malaysia menamatkan kempen dengan lima pingat emas, 14 pingat perak dan 14 gangsa.

Sukan Asia 2018 adalah salah satu daripada penilaian buat Program Podium selepas gagal mencapai sasaran 10 terbaik Sukan Komanwel di Gold Coast. – UTUSAN