Pelumba Britain itu, yang mendahului dengan 34 mata di depan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dengan lima perlumbaan masih berbaki, memacu laju jentera Mercedes dengan catatan rekod baharu trek 1 minit, 27.319 saat (s), sementara Valtteri Bottas muncul selaku pelumba kedua terpantas (1:27.651s).

Bagaimanapun, Vettel yang akan menyertai Hamilton di barisan hadapan selepas Bottas dikenakan penalti lima petak ke belakang kerana menukar kotak gear jenteranya pada Jumaat.

“Jentera kami memang gila di sini. Trek ini sentiasa menjadi salah sebuah litar yang terhebat dan dengan kereta ini, ia cukup menakjubkan,” kata juara dunia tiga kali, Hamilton yang me­nempah petak hadapan buat kali ke-71 dalam kariernya, dan yang pertama di Suzuka.

Hamilton membawa misi untuk menebus kehampaannya setelah dia dikejutkan dengan persembahan mengagumkan da­ripada pemandu Red Bull, Max Verstappen sewaktu perlumba­an di Malaysia, hujung minggu lepas.

“Dengan jentera yang lebih stabil, kami kini lebih laju tiga saat berbanding sebelum ini dan kelajuan kereta ini memang gila. Ia cukup menakjubkan, buat kali pertama saya menempah petak hadapan di sini, 10 kali bernasib baik, atau apa sahaja, saya tak kisah,” ujar Hamilton.

Pemenang tiga kali Grand Prix Jepun, Hamilton memberi amaran jelas terhadap Vettel yang secara realistik amat memerlukan kemenangan pada hujung ming­gu ini bagi menghidupkan kembali harapannya untuk memburu gelaran.

Pemandu Jerman itu yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat di Malaysia selepas terpaksa bermula di petak terakhir, mempamerkan pres­tasi yang baik pada sesi latihan bebas, semalam, tetapi dia kelihatan agak ketinggalan pada aksi kelayakan, hari ini.

“Saya telah lakukan segala-galanya pada pusingan terakhir, kerana saya sedar yang saya perlu mengambil risiko. Saya tahu kami berada di baris hadapan setelah Valtteri dikenakan penalti, jadi saya agak gembira,” kata Vettel.

Daniel Ricciardo muncul pemandu keempat terpantas, kemudian diikuti Verstappen yang sekali gus menyaksikan dua pemandu Red Bulls itu akan memulakan aksi mereka di barisan kedua, esok. – AFP