Kemaraan Halep ke perlawanan akhir disekat oleh pemain Jepun berusia 21 tahun, Naomi Osaka menerusi kekalahan straight set 6-3, 6-0. Pemain berusia 27 tahun itu hanya mampu bertahan selama 64 minit di dalam gelanggang setelah tewas kepada Osaka yang menghuni ranking ke-44 dunia.

Osaka menempah tiket ke perlawanan akhir, esok, dan bakal bertemu rakan sebayanya Daria Kasatkina dari Rusia yang mencipta kejutan ke atas pemenang tujuh kali Grand Slam, Venus Williams 4-6, 6-4, 7-5 dalam satu lagi separuh akhir yang berlangsung lebih awal.

Pemain muda Jepun itu meneruskan aksi cemerlangnya apabila mengetepikan seorang demi seorang pemain ternama, bermula dengan Maria Sharapova di pusingan pertama.

Dia kemudiannya menundukkan pemain No. 31 dunia, Agnieszka Radwanska dan diikuti pemain No. 5 dunia, Karolina Pliskova untuk laluan ke final, serta hanya melepaskan satu set dalam enam perlawanan.

Kasatkina pula menewaskan empat pemain yang berada di dalam ranking 20 terbaik dunia pada pertandingan sama buat kali pertama sepanjang kariernya. Kemenangan pada final, esok, bakal membawa pemain itu berada di dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Selepas tewas dalam set pertama, Kasatkina didatangi jurulatihnya di dalam gelanggang. Philippe Dehaes berkata kepada pemain itu: “Dia telah berusia 37 tahun, awak baharu berumur 21 tahun. Paksa dia melakukan lebih banyak gerakan.”

Kasatkina hanya dipisahkan dua mata daripada kekalahan, sewaktu ketinggalan 4-5 dan 0-30 dalam set ketiga, tetapi Williams melakukan empat kesilapan berturut-turut yang sekali gus membuka laluan buat pemain 21 tahun itu mengikat kedudukan 5-5.

Williams selepas itu hanya memenangi dua mata, sebelum Kasatkina melengkapkan dua games berbaki bagi mengakhiri pertemuan tersebut yang mengambil masa selama 2 jam, 48 minutes. – AGENSI