Kemenangan ke atas Osta­penko bukan sahaja akan memberikan gelaran Grand Slam pertama buat Halep, malah melon­jakkan bintang Romania itu ke ranking No. 1 dunia.

Beraksi dalam final Terbuka Perancis buat kali kedua selepas tewas kepada Maria Sharapova pada 2014, Halep, 25, menunjukkan taktik, skil dan semangat juang tinggi ketika menewaskan n pemain No. 3 dunia, Karolina Pliskova dari Republik Czech, 6-4, 3-6, 6-3 pada separuh akhir semalam.

“Saya akan bermain untuk dua perkara iaitu memburu gelaran Grand Slam buat kali pertama dan merampas kedudukan No. 1 dunia.

“Ia cabaran yang sukar, namun peluang terhidang luas.

“Saya fikir, saya memiliki kelebihan daripada segi permainan. Saya juga mempunyai mentaliti untuk menang, tetapi cabaran yang bakal diterima tidak mudah,” kata Halep.

Kemenangan membolehkan Halep mengutip 7,550 mata ranking, mengatasi pemain Jerman, Angelique Kerber yang kini mengumpul 7,035 mata. Seandainya Ostapenko muncul juara, Halep akan melonjak ke ranking kedua dengan 6,850 mata. Dia kini berkedudukan No. 4.

“Saya sudah bersedia untuk berdepan Jelena dan bersedia untuk satu lagi perlawanan akhir.

“Ini cabaran terakhir dan terbesar dalam kejohanan, saya perlu menghabiskan apa yang gagal saya habiskan sebelum ini (kalah dalam final pada 2014),” kata Halep lagi.

Sementara itu, bagi Ostapenko, yang baru menyambut ulang tahun ke-20 semalam berkata, dia sedikit pun tidak gentar untuk berdepan Halep, biarpun turun sebagai pemain bukan pilihan.

“Peluang beraksi dalam final Grand Slam tidak selalunya hadir, jadi lebih baik saya manfaatkan kesempatan kali ini.

“Ketika tiba di sini, saya tidak langsung menjangkakan untuk beraksi di final, namun, berjaya mengatasi beberapa perlawanan sukar sejak awal pertandingan meningkatkan keyakinan saya,” kata Ostapenko. – AGENSI