Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter itu hadir ke Stadium Carrara hari ini turut mengintai peluang meraih pingat selepas melepasi pusingan kelayakan mencatatkan 16.36m sekali gus muncul peserta keempat terbaik.

Bagaimanapun lompatan terjauhnya pada pusingan akhir sekadar mencecah 15.97m dalam lompatan ketiga, menyebabkan dia tersingkir daripada meneruskan persaingan untuk tiga lompatan seterusnya.

Dia memulakan persaingan dengan mencatat 15.77m untuk lompatan pertama dan kemudian lompatan keduanya dibatalkan.

Akibat kegagalan melepasi jarak 16.00m, Muhammad Hakimi gagal berada dalam kelompok lapan peserta yang meneruskan persaingan untuk merebut pingat.

“Hari ini bukan hari saya. Saya terlalu berhati-hati dalam ketiga-tiga lompatan.

“Untuk lompatan pertama saya terlalu fikir untuk buat sesuatu yang baharu, cuma cuba, dan lompat 15.70m. Untuk yang kedua saya cuba desak diri tetapi batal walaupun dapat 16 lebih dan kemudian terlalu berhati-hati dalam lompatan ketiga kerana saya tengok untuk dapat kedudukan kelapan sudah cukup catat 15.92m.

“Jadi saya terlalu berhati-hati kerana takut batal sekali lagi dan itu makan diri berikutan peserta sebelum saya dari Jamaica (Clive Pullen) memperbaiki lompatan dia iaitu 16.16m...saya tak tahu ketika itu,”katanya yang berada di kedudukan kesembilan selepas melakukan lompatan terakhirnya.

Acara itu dimenangi oleh peserta dari Guyana, Troy Davis yang mencatat jarak 16.88m diikuti oleh Yordanys Duranona Garcia (16.86m) dari Dominica dan Marcel Mayack II (16.80m) dari Cameroon.

Sementara itu, Jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan berkata kuartet 4x100 meter negara telah mempersembahkan prestasi yang baik dalam Sukan Komanwel 2018 selepas menduduki tempat ketujuh dalam perlumbaan akhir di Stadium Carrara hari ini.

Selain Khairul Hafiz kuartet negara yang turut dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisham Abdul Manap menamatkan persaingan dalam masa 39.37 saat yang merupakan catatan terbaik mereka tahun ini.

England memenangi acara itu dengan masa 38.13s yang merupakan catatan terbaik tahun ini manakala Afrika Selatan pula mencatatkan rekod baharu kebangsaan 38.24s dengan meraih perak dan Jamaica mendapat gangsa yang mencatat masa 38.35s.