Muhammad Hakimi mengungguli saingan dengan catatan 16.01 meter, meninggalkan Khaled Al Subaie dari Kuwait (15.70m) di tempat kedua, manakala Lau Jit Sung dari Perak menerusi lompatan 14.78m sekadar meraih gangsa.

Menurut Muhammad Hakimi, dia menggunakan saingan hari ini sebagai medan menguji pelbagai teknik baharu dalam lompatan dan amat gembira dengan pencapaian pingat emas.

“Ini kejohanan pertama saya selepas Sukan Komanwel dan menjadikan aksi hari ini sebagai persediaan mengahadapi Sukan Asia pada Ogos nanti.

“Ada beberapa teknik baharu yang saya cuba lakukan pada hari ini dan ada antaranya membantu saya untuk melompat lebih jauh,” katanya selepas tamat saingan akhir di sini, hari ini.

Sementara itu dalam saingan akhir lompat bergalah menyaksikan atlet negara, Iskandar Alwi turut cemerlang apabila meraih emas dengan catatan 5m, menewaskan pencabarnya Al Sabaghah Ali dari Kuwait yang melakukan catatan 4.90m. Tempat ketiga milik atlet dari Johor, Muhammad Afiq Ahmad dengan catatan sama 4.90m. - UTUSAN ONLINE