Atlet berusia 27 tahun itu mengakui bahawa sebelum ini dia mendapat tahu namanya disenarai pendek untuk menggalas tanggung jawab itu, tetapi sama sekali tidak menjangka akan menjadi pilihan.

Katanya, Sukan Komanwel merupakan yang pertama dia diberikan penghormatan seumpama itu dan tidak pernah menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam mana-mana kejohanan utama sebelum ini.

“Memang rasa sangat gembira, ini merupakan penghormatan tertinggi buat sukan olahraga.

“Memang dapat tahu nama naik sebagai calon, tetapi belum pasti dan hari ini baru sah saya sebagai pembawa bendera Malaysia.

“Untuk peringkat tinggi, ini adalah kali pertama saya menjalankan tanggung jawab ini, sebelum ini saya hanya menjadi pembawa bendera semasa kejohanan di peirngkat sekolah sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018 di Dewan Serbaguna Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontijen, Huang Yin How sebelum dia menyerahkannya kepada Muhammad Hakimi sebagai pembawa bendera di temasya tersebut.

Dia yang disifatkan sebagai atlet olahraga paling konsisten dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang secara sebulat suara oleh pihak kementerian, Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan Institut Sukan Negara meskipun berdepan saingan daripada barisan atlet popular negara.

Muhammad Hakimi yang pernah memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali berturut-turut dalam Sukan SEA pernah menyuarakan hasratnya untuk melakukan perkara sama di temasya sukan utama termasuk Sukan Komanwel.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter itu sedang dalam fasa memperbaiki teknik bagi memastikan impiannya tercapai.

Catatan terbaiknya tahun ini ialah 16.27m yang dilakukannya ketika beraksi di Terbuka Kuala Lumpur, baru-baru ini.