Olahraga negara pada tahun ini dilihat bermula perlahan apabila hanya Muhammad Irfan Shamsuddin mempamerkan kecemerlangan besar pada Mei menerusi disiplin lempar cakera.

Muhammad Irfan mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Austrian Top Meeting 2017 di Linz, Austria pada 26 Mei lalu sekali gus berjaya menarik tumpuan umum kepada olahraga negara.

Pencapaian Muhammad Irfan itu dianggap luar biasa ke­rana bermakna dia muncul sebagai atlet lempar cakera pertama negara berjaya memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak 13 kali.

Kali pertama jaguh lempar cakera negara itu memperbaharui rekod kebangsaan ialah pada 2013 dengan catatan 49.81m dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Junior dan Senior Kebangsaan, memadam rekod lama 49.33m milik Ngu Kit Ming dari Sarawak.

Kejayaan besar olahraga negara pada 2017 yang akan di­ingati selamanya adalah sewaktu raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan mencipta rekod kebangsaan acara 200m dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Ke-94 pada 18 Julai lalu.

Pelari berusia 19 tahun dari Melaka itu mencatat masa 20.90 saat (s) sewaktu pusingan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk melebur rekod lama 20.92s milik Tan Sri Dr. M Jegathesan yang dicatatkan pada Oktober 1968 dalam Sukan O­limpik di Mexico.

Lebih manis catatan itu turut mengatasi rekod kejohanan 20.94s milik Kento Terada dari Jepun yang dicatatkan ketika edisi 1996 di Kangar.

Olahraga telah membuktikan sukan itu berada di landasan bagus apabila berjaya menghadiah­kan lapan pingat emas dalam kempen Sukan SEA Ke-29 mengatasi pencapaian tiga pingat emas di Singapura pada 2015.

Kejayaan Khairul Hafiz di­nobat sebagai Raja Pecut Asia Tenggara dengan menjuarai acara 100m juga menunjukkan masa depan olahraga kini cukup cerah setelah kali terakhir Malaysia memenangi acara blue ribbon itu 14 tahun lalu.

Selain kejayaan Khairul Hafiz dalam acara 100m, Rayzam Shah Wan Sofian juga tidak kurang hebat apabila merampas kembali gelaran 110m lari berpagar selepas 10 tahun.

Atlet heptatlon wanita, Norliyana Kamaruddin turut mencuri tumpuan apabila melebur rekod berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman. Norliyana menamatkan persaingan di kedudukan keempat dengan 5,247 mata memadam catatan lama 5,175 mata.

Pencapaian membanggakan olahraga dalam tahun ini juga membolehkan tiga atlet sukan itu disenarai dalam Program Podium 2018 yang telah diumumkan pada 10 November lalu iaitu Muhammad Irfan, jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa dan pemegang rekod kebangsaan lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail.