Kejayaan itu membolehkan Hafifi dan Fatehah membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta piala pusingan serta sijil kepujian.

Persatuan yang mereka naungi pula masing-masing menerima RM2,000.

Hafifi, 24, atlet kelahiran Seberang Takir menjadi penyumbang pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow dalam kategori kategori 69 kilogram.

Fatehah, 26, pula melakar sejarah tersendiri setelah merangkul anugerah Olahragawati Terengganu untuk tahun keempat berturut-turut menerusi kecemerlangannya dalam sukan lumba basikal.

Anak jati Kuala Berang itu turut meraih pingat perak dalam Sukan Komanwel di Glasgow yang berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Dua atlet olahraga, Harith Ammar Mohd. Sobri dan Siti Nur Afiqah Abdul Razak masing-masing dinobat sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan Terengganu 2013/2014. Setiap mereka menerima wang tunai RM2,500.

Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik diraih sukan perahu layar, manakala kuartet olahraga 4x400m muncul Pasukan Wanita Terbaik. Persatuan Kanu Negeri Terengganu menerima anugerah Pengurusan Persatuan Terbaik.

Turut mencuri tumpuan, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang dianugerahkan Tokoh Sukan Terengganu bagi menghargai sumbangan dan komitmen tinggi beliau dalam membangunkan sukan negeri.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkeples Embong menerima Anugerah Khas, manakala Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dianugerahkan Kepimpinan Sukan bagi sukan boling padang.

Jurulatih Terbaik milik Abdul Rani Idris (perahu layar), Majlis Sukan Daerah Kuala Terengganu menerima Anugerah Majlis Sukan Daerah Terbaik, manakala pengadil bola sepak Piala Dunia Wanita 2012, Samsudin Ibrahim menerima penghargaan Pegawai Teknikal Terbaik.

Anugerah dan hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman selain Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat serta timbalannya, Mohd. Mahdi Musa.

Dalam majlis itu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) turut diraikan atas kejayaan merangkul kejuaraan berganda dalam Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB 2014.