Kejayaan tersebut merupakan gelaran utama yang diraih Griezmann bersama Atletico, dan ia juga cara terbaik buat pemain tersebut jika dia mengambil keputusan meninggalkan Atletico sebaik musim berakhir, dengan Barcelona dikhabarkan menjadi destinasi pilihannya.

Griezmann, yang membesar di Macon hanya 70 kilometer dari Lyon, menyumbat satu gol dalam dua babak permainan, sementara, Marseille kehilangan Dimitri Payet akibat kecederaan, setelah kapten Perancis itu terpaksa dibawa keluar dalam linangan air mata pada separuh masa pertama.

Griezmann, yang telahpun menjaringkan 29 gol musim ini, turut menyaksikan rakan sepasukan Gabi melengkapkan kemenangan Atletico hasil jaringan pada lewat perlawanan.

“Ini merupakan ganjaran buat saya selepas terpaksa me­ninggalkan rumah pada usia 14 tahun, segala kerja keras dan penderitaan yang saya tanggung di balas dengan kejayaan yang cukup bermakna,” kata Griezmann, yang menghabiskan seluruh kariernya di Sepanyol, tetapi hanya pernah menikmati satu gelaran iaitu Piala Super Sepanyol.

Kejayaan Atletico itu hadir selepas kekalahan memeritkan kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016. Mereka sebelum ini pernah me­rangkul gelaran Liga Europa pada 2010 dan 2012, yang mana kemenangan kedua kelab itu terhasil hanya enam bulan selepas Diego Simeone dilantik sebagai jurulatih.

Simeone, yang terpaksa me­nyaksikan perlawanan akhir itu dari tempat duduk penonton ekoran hukuman penggantu­ngan di tepi padang, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai ganjaran buat skuad bimbingannya yang bekerja keras dan dalam masa sama berharap, dapat meya­kinkan Griezmann untuk kekal bersama mereka.

“Kejayaan ini merupakan bukti di atas segala kerja keras yang dilakukan Griezmann sekian lama. Saya berharap dia gembira dengan kami. Saya tidak meragui ia mungkin akan membuat dia mahu kekal bersama kami.

“Dia telah beraksi dalam tiga final bersama kami, memenangi dua gelaran, dan pencapaian itu menunjukkan objektifnya untuk beraksi kerap dalam perlawanan akhir tercapai. Kami juga tidak jauh daripada pasukan yang le­bih mantap daripada kami,” kata warga Argentina itu. – AFP