Pemenang 14 kali kejohanan besar itu hanya kembali beraksi pada Disember lalu setelah 15 bulan berehat kerana menjalani dua pembedahan bahagian belakang badannya.

Woods, 41, bergelut dalam pu­singan pertama yang mana catatannya amat teruk iaitu 77 pukulan, 5 di atas par.

Agennya, Mark Steinberg berkata bekas pemain No.1 dunia itu berasa kejang di bahagian belakang badan pada malam Khamis dan dia telah diberitahu oleh Woods berhubung kesakitannya itu.

“Dia berasa amat sakit dalam kejohanan tersebut. Dia mahu berada di sini. Dia boleh bergerak namun tidak boleh untuk melakukan hayunan penuh.

“Dia tidak mempunyai kekuatan seperti sebelum ini dan itu juga memungkinkannya me­ngalami kekejangan kerana kurang beraksi,” kata Steinberg.

Woods telah memenangi kejohanan Dubai sebanyak dua kali sebelum ini namun ketinggalan 12 pukulan daripada pendahulu Sergio Garcia pada hari pertama.

“Saya mengalami kesakitan semula. Saya cuba melakukan pukulan dan tidak dapat melakukannya dengan baik,” kata Woods selepas tamat pusingan pembukaan.

Penampilan pertama Woods selepas pulih daripada kecedera­an adalah menerusi aksi Cabaran Dunia Hero di Bahamas pada Disember lalu dan menamatkan kejohanan itu di tempat ke-15. – AGENSI