Ranking Golf Dunia menunjukkan Woods berada di kedudukan 1,005 dan ia mencerminkan kesan daripada kecederaan yang dialami sejak dua tahun lalu.

Woods, yang cuba bangkit semula dalam kerjayanya selepas ditenggelami dengan beberapa siri pembedahan di bahagian belakang sejak 2014, sekadar melakar penamat 10 terbaik dalam dua musim sebelum ini.

Pemain berusia 41 tahun itu pernah menghuni ranking nombor satu dunia untuk rekod selama 683 minggu.

Tahun ini sesi pemulihannya daripada kecederaan turut dibayangi dengan penangkapannya pada Mei lalu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Bulan lepas, pemenang kejuaraan utama 14 kali itu berkata dia merancang untuk mendapatkan bantuan profesional bagi merawat kebergantungan kepada ubat.

Woods yang memenangi 79 kejuaraan Jelajah PGA hanya kekurangan tiga lagi untuk menyamai rekod sepanjang zaman Sam Snead. -AFP