Ini adalah kejuaraan utama pertama dirangkul bekas pemain No. 1 dunia dari Amerika Syarikat (AS) itu dalam tempoh 11, malah ia juga gelaran Masters  pertamanya sejak kali terakhir muncul juara pada 2005.

Lebih manis lagi, kejayaan tersebut diraih pada ketika Woods, 44,  hampir berputus asa, malah kariernya dalam bahaya selepas mengalami kecederaan belakang berulang pada penghujung 2017.

Begitupun, semangat juang luar biasa membolehkan Woods bangkit mencatat 70 pukulan pada hari terakhir kejohanan, sekali gus dinobat sebagai juara dengan kelebihan tipis satu pukulan.

Ini adalah gelaran utama ke-15 buat Woods, namun yang pertama sejak kali terakhir muncul juara Terbuka Britain 2008.

“Semuanya luar biasa, saya tidak dapat gambarkan perasaan ketika ini kerana saya sebenarnya sudah cukup bernasib baik dapat meneruskan karier selepas kecederaan yang dialami.

“Selepas sekian lama, saya akhirnya merangkul kejuaraan ini sekali lagi. Ibu saya ada di sini hari ini, dia juga ada di sini ketika saya menang buat kali pertama pada 1997. Saya seperti hilang kata-kata,” kata Woods.

Woods menjerit sebaik sahaja berjaya menyudahkan putt di lubang ke-18 bagi mengesahkan kemenangan dan menyarung jaket hijau buat kali kelima.

Dia melengkapkan empat hari kejohanan dengan mengumpul 13 bawah par 275, sekali gus menang tipis ke atas tiga pencabar rapat dari AS - Dustin Johnson, Xander Schauffele dan Brooks Koepka.

Kemenangan juga membolehkan Woods membawa pulang AS$2.07 juta (RM8.5 juta). - AGENSI