Laman web Golf Channel dan Golf Digest, masing-masing melaporkan Woods dilihat bersama Haney di sebuah lapang sasar di Florida, minggu lalu.

Sehubungan itu, ia menimbulkan spekulasi bahawa jaguh Amerika Syarikat itu mungkin akan kembali beraksi dalam masa terdekat.

"Ia semestinya menarik untuk tidak sahaja melihat bagaimana dia beraksi, tetapi juga bagaimana dia mampu mengawal situasi yang dihadapinya ketika ini," kata pemain Britain, Rory McIlroy, kelmarin.

McIlroy berkata demikian ketika di lapangan Doral, Miami, bagi menyertai Kejuaraan WGC-CA, yang akan berlangsung minggu ini.

"Saya berpendapat, semua orang begitu teruja untuk melihat Woods kembali ke lapangan dan bermain golf.

"Daripada beberapa laporan yang saya dengar, dia masih mempunyai tahap pukulan yang sempurna dan masih lagi hebat seperti sebelum ini," kata McIlroy.

Woods menyatakan sedang 'berehat dalam tempoh yang tidak diketahui' dari sukan tersebut, sejak Disember lalu.

Setakat ini, dia hanya sekali bercakap di khalayak ramai, menyebabkan orang ramai tertunggu-tunggu bila dia akan kembali beraksi.

Kejohanan utama pertama tahun ini adalah kejuaraan Masters di Augusta, 8 April ini.

Jika Woods ingin kembali beraksi pada kejohanan tersebut, dia mungkin akan membuat penampilan pemanas badan dalam mana-mana kejohanan Mac ini.

Kejohanan Jemputan Arnold Palmer di Bay Hill dan pertandingan persendirian, Piala Tavistock adalah dua pertandingan yang berdekatan dengan kediaman Woods di Orlando. - Reuters