Paling menarik, kedua-dua pemain itu turut menyamai catatan 130 pukulan yang dilakukan Justin Thomas pada edisi 2016.

Woodland turut mengatasi catatan 62 pukulan yang dilakukan Scott Piercy dalam aksi par-72 pada edisi 2015 selepas meraih 61 pukulan, 11 di bawah par hari ini.

Woodland mengakui, keadaan lapangan TPC Kuala Lumpur sangat luar biasa dan sangat sesuai untuk mencatatkan keputusan rendah.

Katanya, dia bermain dengan baik dan putt yang dilakukannya hari ini sangat sempurna terutama di lubang ke-17 yang jelas memberikan kesan positif kepada keseluruhan permainannya.

“Saya pernah melakukan 63 pukulan beberapa kali tetapi 61 pukulan adalah catatan terendah hari ini dan saya pernah melakukan 59 pukulan sebelum ini, jadi saya percaya ada sesuatu yang hebat akan berlaku.

“Saya beharap catatan hari ini dapat membantu saya merebut kejuaraan edisi kali ini, jelas sekali dengan catatan seperti ini (61 pukulan) membuktikan bahawa semuanya berada dalam keadaan tepat.

“Perkara paling penting di sini adalah pukulan pertama selain meletakkan bola di dalam kawasan fairway bagi memudahkan pemain untuk melakukan ‘serangan’ ke green,” katanya.

Sementara itu, Leishman berkata, beraksi tanpa gangguan angin selain keadaan fairway yang baik jelas membantu permainannya hari ini tetapi mengakui bukan mudah untuk menjadi juara memandangkan ramai pemain utama berada di posisi terbaik untuk merebut juara kali ini.