Status amatur bukan penghalang kepada pemain berusia 16 tahun itu menampilkan aksi jauh lebih baik berbanding Kelly dan Michelle dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.8 juta (RM7.64 juta) itu.

Walaupun tidak berada dalam kelompok 50 pemain terbaik, namun catatan 76 pukulan, lima di atas par pada hari terakhir dengan mengumpul 293 pukulan, sembilan di atas par secara keseluruhan sudah memadai buat dirinya terutama ketika beraksi dalam kejohanan besar seperti itu.

Kelly yang pada awalnya menjadi sandaran utama negara untuk beraksi cemerlang di kejohanan itu nyata menampilkan aksi mengecewakan selepas meraih 77 pukulan, enam di atas par pada hari terakhir bagi mengumpul 301 pukulan, 17 di atas par secara keseluruhan.

Aksi yang ditampilkan Michelle juga tidak begitu baik selepas menamatkan saingan hari terakhir dengan catatan 74 pukulan, tiga di atas par untuk mengumpul 299 pukulan 15 di atas par.

Winnie memberitahu, dia tidak lagi mengulangi kesilapan tahun lalu apabila kerap terikut-ikut strategi permainan pemain lain sebaliknya lebih fokus kepada permainan sendiri.

Katanya, matlamat utamanya selepas ini adalah untuk cuba meraih kejuaraan dalam kejohanan amatur di peringkat antarabangsa selain meneruskan cita-cita untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Tahun ini saya belajar cara untuk bermain dengan cara tersendiri iaitu meletakkan bola di tengah-tengah green untuk memudahkan saya melakukan putt.

“Saya juga belajar untuk tidak meletakkan sebarang harapan tinggi. Saya juga mengingatkan diri saya untuk tidak menjangkakan sebarang kedudukan tinggi, jadi saya bermain tanpa sebarang tekanan dan menikmati permainan ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE