Pemain berusia 25 tahun itu mengumpul 279 pukulan, sembilan di bawah par untuk menghuni kedudukan kelima secara keseluruhan.

Wafiyuddin yang kini bergelar pemain profesional dilihat mampu memberikan saingan kepada barisan pemain golf antarabangsa lain.

Dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan keterujaannya terutama sekali apabila mengetahui kedudukannya di tempat kelima yang meletakkan beliau sebagai pemain Malaysia dalam edisi kali ini.

“Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini. Bukan mudah untuk mendapat berada dalam kedudukan sepuluh teratas tetapi Alhamdulillah, berkat latihan dan semangat tidak berputus asa, saya mampu bermain dengan baik hingga ke saat akhir,” katanya.

Aksi di Seriemas Golf & Country Club itu menyaksikan pemain golf Australia, Martin Dive muncul juara selepas mengumpul 275 pukulan, 13 di bawah par manakala pemain Sweden, Oskar Arvidsson dan Brett Munson dari Amerika Syarikat muncul naib juara bersama selepas mengumpul 277 pukulan, 11 di bawah par.

Pemain Thailand Panuwat Muenlek menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 278 pukulan, 10 di bawah par. - UTUSAN ONLINE