Tourism Selangor berbangga menjadi sebahagian daripada siri jelajah berprestij ini apabila kejohanan PGM Maybank ADT 2018 berlangsung di Kelab Golf Saujana, di sini pada 28 November hingga 1 Disember ini.

ABDUL RASHID ASARI
ABDUL RASHID ASARI 

Pembabitan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meluaskan lagi dan mempromosi pelancongan di Selangor menerusi penganjuran sukan golf bertaraf antarabangsa.

Ke arah itu, Tourism Selangor mengambil langkah menaja program siaran Highlights PGM Tour, program televisyen selama 30 minit yang memaparkan pelbagai aksi menarik Kejohanan PGM Maybank ADT 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, dengan 42 lapangan golf yang sebahagian besarnya bertaraf antarabangsa bertempat di negeri itu, usaha meningkatkan industri pelancongan menerusi sukan golf dapat dilakukan dengan lebih meluas.

Katanya, pihak kerajaan negeri sentiasa mencari jalan mengembangkan industry pelancongan dalam negeri dan kami percaya, menerusi inisiatif menghasilkan program Highlights Televisyen Jelajah PGM ini, lebih banyak kesedaran dapat diwujudkan selain menarik lebih banyak peminat dan pelancong ke negeri ini.

“Selain mempromosi lapangan golf dan tempat-tempat menarik, program sebegitu diharap dapat membantu mengetengahkan Jelajah PGM secara lebih meluas dan seterusnya, menjadikan Selangor sebagai Destinasi Percutian Golf nombor satu di Negara ini.

“Jelajah PGM merupakan sirkit profesional yang diperakui ADT dan tentunya, menarik perhatian dan penyertaan ramai pemain tempatan dan asing. Tourism Selangor akan membawa kejohanan itu ke kaca televisyen dan melakukan promosi menerusi pelbagai platform media termasuk elektronik, cetak dan media sosial untuk meningkatkan minat dan masyarakat terhadap golf dan industri pelancongan negeri,” katanya.