Tiger Woods

Juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu terus menunjukkan petanda meyakinkan dengan catatan empat bawah par 68 dalam pusingan kedua, awal pagi tadi.

Woods, yang ketinggalan lima pukulan di belakang pendahulu, Charley Hoffman, berkata, belakangnya tidak memberikan masalah dalam kejohanan pertamanya dalam tempoh 10 bulan.

“Saya membuktikan pembedahan saya berjaya dan pemulihan juga menakjubkan. Saya berpeluang untuk pergi ke luar sana dan bermain golf secara kompetitif semula tapi saya hanya baru kembali dan masih mempunyai perjalanan yang panjang.

“Saya tidak mempunyai sebarang isu. Itu salah satu sebab saya bermain sembilan hari berturut-turut berhampiran kediaman saya dan juga di sini dan tubuh saya sudah biasa bermain.

“Jelas sekali ia sedikit berbeza bermain dalam pertandingan golf dengan kepantasan dalam pertandingan dan membuat pukulan tertentu tapi tubuh saya berasa baik,” katanya.

Woods mencatat tiga birdie dan satu eagle pada sembilan lubang pertama untuk mendahului kejohanan buat seketika.

Pemain berusia 41 tahun itu berkata ia satu hari lagi yang baik di sebalik bergelut dengan kepantasan green.

“Saya rasa saya berjaya kerana saya ke luar sana dan melakukan catatan 31 pada sembilan lubang pertama dan meneruskan daripada apa yang saya lakukan semalam.

“Green seolah-olah sekaki lebih pantas. Saya bergelut untuk menyesuaikan diri dengannya dan kebanyakan pukulan putt saya melepasi lubang tapi masih berjaya membenam beberapa daripadanya,” jelasnya.

Woods menyudahkan pusingannya dengan jumlah tujuh bawah par untuk berkongsi tangga kelima, lima pukulan di belakang Hoffman yang pulang dengan catatan 12 di bawah par.

Jordan Spieth menyusul tiga pukulan di belakang, berkongsi kedudukan dengan pendahulu pusingan pertama, Tommy Fleetwood. – AGENSI