Tiga pemain Amerika itu dijangka bersaing sengit dalam kejohanan besar terakhir musim itu di lapa­ngan Bellerive sepanjang 7,316 ela, par-70 dalam Kejohanan PGA ter­akhir yang dipertandingkan pada Ogos. Acara itu akan dipindahkan ke bulan Mei mulai tahun hadapan.

Woods, juara kejohanan besar sebanyak 14 kali tetapi tidak pernah memenangi gelaran utama sejak Terbuka AS pada 2008, menjalani pembedahan memperbetulkan tulang belakang pada April 2017 dan membuat kemunculan semula pada Disember lalu, melonjak dari kedudukan 1,200 dunia kepada ke-50.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkongsi kedudukan kedua pada Mac lalu dalam Kejohanan Valspar PGA, menukar kepada putter mallet pada Jun dan berkongsi tempat keempat dalam PGA National, dan bulan lalu mendahului seketika dalam pusingan akhir Terbuka British sebelum terpaksa berpuas hati dengan berkongi tempat keenam di Carnoustie di belakang juara Francesco Molinari dari Itali.

“Sudah tentu saya boleh menang lagi. Saya rasa seperti saya memukul bola dengan lebih baik. Dan sejak saya menukar putter, putt saya semakin bagus,” kata Woods.

Woods, 42, telah memenangi 79 PGA AS dalam kariernya tetapi tidak pernah memenangi sebarang kejohanan sejak Undangan WGC Bridgestone pada 2013. – AFP

Pemain nombor tiga dunia Justin Thomas pula berusaha menjadi juara berturut-turut sejak Woods melakukannya pada 2006 dan 2007, mahu melihat Woods menang jika dia sendiri gagal bersaing.

“Saya sentiasa menyokong Tiger jika saya tidak bermain, atau jika dia berpeluang menang dan saya pula tidak,” kata Thomas.

Spieth pula menduduki tempat ketiga kejohanan Masters dan berkongsi kedudukan kesembilan dalam Terbuka British bulan lalu, di mana dia gagal mempertahankan gelaran juara.

Tetapi pemain berusia 25 tahun dari Texas itu yang memenangi Masters 2015 dan Terbuka AS tidak pernah menang sejak meraih gelaran besar ketiganya pada tahun lalu di Royal Birkdale.

Pemain nombor lapan dunia itu berpeluang menjadi orang keenam untuk memenangi kesemua kejohanan besar - Masters, Terbuka ASm Terbuka British dan PGA - untuk menyertai Jack Nicklaus, Woods, Gene Sarazen, Ben Hogan dan Gary Player.

Johnson pula, yang menang Terbuka Kanada minggu lalu, adalah pilihan utama untuk membawa pulang Trofi Wanamaker meskpun dia gagal melepasi cut Terbuka British. – AFP