Penganjur kejohanan, Maybank hari ini mengumumkan pemain itu adalah bintang antarabangsa pertama yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu.

“Kami dengan sukacita mengalu-alukan Henrik Stenson dalam Kejohanan Maybank 2018.

“Adanya Stenson akan membuka peluang kepada pemainprofesional dalam jelajah yang meningkat naik di seluruh ASEAN, selain 10 pemain golf terbaik Malaysia dari jelajah tempatan, menimba pengalaman pertandingan sebenar dengan seorang daripada pemain golf terbaik dunia,” kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Farid Alias dalam kenyataan, di sini hari ini.

Stenson, 41, mencipta nama antaranya dengan menjadi satu-satunya pemain profesional yang memenangi kedua-dua Piala FedEx dan Race to Dubai pada tahun yang sama iaitu pada 2013.

Kejayaannya dalam kejohanan Terbuka pada 2016 pula dianggap sebagai antara yang terbaik dan persembahan paling menarik pada hari terakhir dalam sebarang kejohanan utama.

Dia turut mewakili Sweden dalam Olimpik 2016 di Rio dan meraih pingat perak.

Stenson akan bersaing dengan 155 pemain terkemuka dari seluruh dunia untuk merebut wang tunai US$3 juta dolar (RM12.54 juta) di Kelab Golf dan Country Saujana.

Kejohanan Maybank 2018 diiktiraf bersama oleh Jelajah Eropah dan Jelajah Asia, satu perkongsian yang menyaksikan pemain daripada kedua-dua jelajah bersaing dalam kejohanan.

Acara itu disokong oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan badan-badan golf profesional di seluruh rantau selain menyediakan platform kepada pemain yang mencari pengalaman berharga dan mata.