Pemain kelahiran Brisbane berusia 24 tahun itu merekodkan 64 pukulan, lapan di bawah par untuk mengatasi Poom Saksansin dari Thailand, Xander Schauffele dan Keegan Bradley dari Amerika Syarikat yang berkongsi kedudukan kedua selepas masing-masing melakukan 65 pukulan, tujuh di bawah par.

Catatan lapan birdie dan aksi bebas bogey pada hari pertama sudah memadai untuk Smith memiliki kelebihan satu pukulan menjelang aksi hari kedua kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$7 juta (RM29.51 juta).

“Saya membesar di Brisbane, cuaca di sana agak sama tetapi tidak sepanas ini. Saya menikmati cuaca seperti ini dan sentiasa bermain dengan baik dalam keadaan seperti ini.

“Paling penting ialah, awak perlu memukul bola dalam keadaan lurus untuk memudahkan permainan selain perlu melakukan pukulan putt dengan baik dan secara keseluruhannya, pukulan saya sangat baik hari ini.

“Saya rasa sangat panas hari ini, permainan saya baik, keada­an lapangan juga sangat baik dan saya akan mengekalkan strategi permainan saya selain memberi tumpuan kepada pukulan pertama serta menjadi lebih agresif untuk memasuki green bagi melakukan putt,” kata Smith selepas tamat permainan hari ini.

Juara bertahan dua kali Justin Thomas, yang sedang memburu three-peat (juara tiga kali berturut-turut), tidak bernasib baik dan menamatkan pusingan pertama dengan berkongsi kedudukan ke-23 bersama 14 pemain lain termasuk pemain veteran negara Danny Chia de­ngan catatan 70 pukulan, dua di bawah par.