Pemain berusia 22 tahun itu berkata, kejayaan muncul juara tahun lalu telah meningkatkan semangatnya dan mendorong dia memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia.

“Kenangan terindah saya pada 2018 adalah menjuarai Kejohanan Maybank. Ia menjadi titik permulaan bagi diri saya serta membuka peluang untuk saya,” kata Shubhankar dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Edisi keempat Kejohanan Maybank yang menawarkan AS$3 juta (RM12.27 juta) akan berlangsung dari 21 hingga 24 Mac ini.

Shubhankar, yang bergelar profesional pada 2013 akan menyertai barisan 156 pemain dari Jelajah Asia dan Eropah, termasuk rakan senegaranya, Arjun Atwal, Scott Hend (Australia), David Lipsky (Amerika Syarikat), pemain veteran Thailand, Thongchai Jaidee serta jaguh golf negara, Gavin Kyle Green.

Sementara itu, Gavin yang menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia pada 2017 akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menampilkan aksi terbaik selepas sekadar terikat di tangga ke-47 dan ke-39 pada edisi 2017 serta 2018.

“Saya rasa, saya sudah bersedia secara mental dan fizikal. Sudah tentu peluang (muncul juara) itu ada, tetapi saya perlu bersabar dan menangani tekanan bermain di depan peminat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur kejohanan, Maybank memperkenalkan kategori jemputan ASEAN yang akan menyaksikan penyertaan bakat muda serantau seperti Johnson Poh dan Jesse Yap dari Singapura, Ye Thet Aung (Myanmar), Danny Masrin (Indonesia) dan pemain Filipina, Angelo Que. - UTUSAN ONLINE