Sharma, 21 tahun, menjuarai kejohanan bernilai A$3 juta (RM11.66 juta) itu selepas mencatat 62 pukulan 10 di bawah par dalam pusingan keempat bagi mengumpul 267 pukulan 21 di bawah par keseluruhan sekali gus membolehkan dia membawa pulang AS$500,000 (RM1.9 juta).

Lebih manis kejayaan Sharma mengungguli kejohanan yang diiktiraf oleh Jelajah Eropah dan Jelajah Asia itu membolehkan dia muncul sebagai pemenang gelaran Order of Merit Jelajah Asia di Saujana Golf & Country Club dan kini pendahulu Race to Dubai.

“Paling mencabar adalah ketika aksi dalam sembilan lubang terakhir kerana mahu memastikan setiap pukulan tidak bersiko iaitu menyebabkan bola masuk ke dalam bunker,” kata Sharma selepas tamat kejohanan hari ini.

Dalam aksi hari ini, Sharma yang bermula di lubang pertama dilihat bermain secara konsisten biarpun sedikit terganggu dengan keadaan angin kuat di lapangan Saujana Golf & Country Club.

Semua 10 birdie Sharma diperoleh di lubang keempat, lima, enam, tujuh, sembilan, 11, 13, 14, 17 dan 18. Ini juga adalah gelaran kedua dalam Jelajah Eropah yang pernah dimenangi Sharma selepas Terbuka Joburg pada tahun lalu.

Naib juara milik Jorge Campillo dari Sepanyol yang mencatat 68 pukulan empat di bawah par dalam pusingan keempat dan mengumpul keseluruhan 19 di bawah par selepas melakukan 269 pukulan, memperoleh A$333,330 (RM1.2 juta).

Tempat ketiga, Pablo Larrazabal dari Sepanyol dan Ryan Fox dari New Zealand. Larrazabal dan Fox, masing-masing mencatat 66 pukulan enam di bawah par dalam pusingan keempat dan mengumpul 18 di bawah par selepas melakukan 270 pukulan keseluruhan dan meraih A$168,900 (RM656,566).