Reed, 27, yang menghuni ranking ke-24 dunia, mencipta empat birdies dan tiga bogeys bagi melakukan 15 di bawah par dengan 273 pukulan di Kelab Golf Nasional Augusta.

Dia berjaya memperbaiki pencapaian berbanding aksinya sebelum ini pada pertandingan utama setelah berada di tempat kedua pada Kejohanan Golf PGA, Ogos tahun lalu.

Bekas juara, Jordan Spieth melonjak kedudukannya di dalam senarai pendahulu apabila melakukan 64 pukulan 8 di bawah par untuk 275 pukulan keseluruhan.

Satu-satunya yang mencacatkan kutipan matanya ialah bogey yang dilakukan di lubang 18 selepas sembilan birdies. Dia berada dua pukulan di depan berbanding pencabar dari Sepanyol, Jon Rahm yang melengkapkan aksinya dengan 69 bagi 277 pukulan keseluruhan.

Pemain Ireland Utara, Rory McIlroy memulakan saingan di tempat kedua, ketinggalan tiga pukulan di belakang Reed. Namun, bidaannya untuk melengkapkan karier Grand Slam menerusi kemenangan pertama Masters terencat di pusingan akhir apabila melakukan 74 pukulan yang menyaksikannya berkongsi kedudukan di tempat kelima dengan 279 pukulan keseluruhan. - AFP