Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, program dua tahun menelan kos kira-kira RM1.5 juta itu akan membantu dari segi bimbingan dan memberi insentif kepada pemain golf terpilih untuk mendapatkan mata ranking dunia bagi mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik.

"Kita mahu memastikan Malaysia memanfaatkan secara maksimum dua tempat bagi lelaki dan dua slot bagi wanita untuk Olimpik Tokyo (bagi negara tanpa pemain golf berada dalam ranking 15 teratas dunia).

"Hanya 300 pemain terbaik dalam Ranking Rasmi Golf Dunia pada akhir Jun 2020 akan melayakkan diri. Jadi, kita sudah menganjurkan 50 peratus (12 daripada 24) kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tahun ini, maka pemain golf kita boleh mendapatkan lebih banyak mata," katanya selepas melancarkan 'PGM Tour Yearbook', di sini hari ini.

"Keduanya, kita mempunyai senarai calon berpotensi untuk dibimbing dan diberi insentif kerana mereka juga beraksi dalam kejohanan ADT dan Jelajah Asia di negara lain supaya boleh mendapat lebih banyak mata. 

“Kita juga perlu mengenal pasti ‘master coach’ bagi mengiringi mereka ke semua kejohanan disertai sebagai mentor dan mengenal pasti kelemahan mereka.
“Kita juga memerlukan program latihan psikologi dan motivasi setiap tiga bulan, seperti kita laksanakan sebelum Sukan Olimpik Rio 2016,” katanya.

Ahmad Sarji berkata, berdasarkan senario semasa, juara Order of Merit Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green mempunyai peluang yang sangat cerah untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik, dengan berada pada ranking ke-171 dunia.

“Seterusnya mengikut senarai itu adalah Nicholas Fung, diikuti Ben Leong dan Arie Irawan yang kesemua mereka beraksi di kejohanan Jelajah Asia. Ini bererti, apabila mereka beraksi dalam kejohanan berkenaan, mereka perlu memenanginya dan tidak hanya sekadar menyertai sesuatu kejohanan itu.

“Mengenai pemain wanita, kita perlu mengenal pasti pemain-pemain berkenaan. Pada masa ini, kita ketandusan bakat pemain wanita. Hanya ada kira-kira enam hingga tujuh pemain sahaja. Justeru, bagi mempersiapkan mereka menghadapi Sukan Olimpik, kita memerlukan cara yang sistematik,” katanya.

Mengenai situasi golf profesional di negara ini, bekas Ketua Setiausaha Negara itu berkata, landskap sukan berkenaan bertambah baik berbanding lapan tahun lepas, dengan lebih banyak pemain beraksi di ADT dan Jelajah Asia, di samping jumlah kejohanan lebih banyak dianjurkan di Malaysia, termasuk tiga kejohanan utama - Kejohanan Maybank, Klasik CIMB dan Sime Darby LPGA Malaysia.

Sementara itu, edisi ketujuh ‘ PGM Tour Yearbook’ berharga RM79 itu akan dijual di MPH Bookstores di seluruh negara. - BERNAMA