Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kejohanan itu antara lain memberi peluang kepada pemain yang berada di dalam siri jelajah itu untuk beraksi selain mendapatkan mata ranking dunia.

Sehingga kini katanya, Malaysia belum ada sebarang kejohanan seumpama itu seperti mana yang dimiliki Indonesia menerusi Indonesian Masters.

“Kita tidak memiliki kejohanan yang mendapat pengiktirafan sepenuhnya daripada Jelajah Asia, seperti Terbuka Maybank mereka mendapat pengiktirafan bersama Jelajah Asia dan Jelajah Eropah.

“Kami sedang dalam fasa akhir (mencari penajaan) untuk mewujudkan kejohanan ini dan seandainya berjaya, kejohanan ini akan menjadi legasi untuk negara ini pada masa akan datang,” katanya selepas pengumuman kalendar kejohanan PGM 2018, di TPC Kuala Lumpur, di sini semalam.

Sebelum ini Malaysia memiliki kejohanan yang mendapat pengiktirafan sepenuhnya daripada Jelajah Asia iaitu Selangor Masters yang kali terakhir dianjurkan pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sarji berharap kejayaan pemain golf utama negara, Gavin Kyle Green akan menjadi pemangkin kepada kemajaun pemain-pemain muda lain pada masa akan datang.

Katanya, dalam usia yang begitu muda dia berjaya menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara Order of Merit Jelajah Asia selain muncul Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017.

“Kita memiliki ramai pemain muda yang berpotensi untuk maju dalam sukan ini dan saya berharap kejayaan Gavin akan menjadi inspirasi kepada mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE