Persaingan di lapangan TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini hari ini menyaksikan pemain berusia 41 tahun dari Arizona itu menampilkan aksi cemerlang dengan catatan 69 pukulan, tiga di bawah par untuk mengumpul 264 pukulan, 24 di bawah par secara keseluruhan bagi membawa pulang hadiah wang tunai AS$1.26 juta (RM5.3 juta) daripada hadiah keseluruhan AS$7 juta (RM29.51 juta).

Trofi kemenangan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun gagal mencapai sasaran 27 di bawah par untuk kejohanan itu, namun Perez gembira kerana permainan agresif yang ditampilkan dalam dua hari ter­akhir nyata membuahkan hasil.

Katanya, dia terpaksa bermain secara agresif kerana menyedari sedang berdepan dengan barisan pemain terbaik dunia dan pada masa sama menjangkakan ada pemain mampu memintas kedudukannya pada saat-saat akhir.

“Saya perlu kekal agresif ke­rana mereka sangat bagus, saya jangka ada pemain mampu melakukan catatan 63 pukulan hari ini atau sekitar angka itu, jadi saya tiada pilihan lain kerana saya tidak seperti 17 tahun lalu atau lima tahun lalu.

“Saya sedang belajar untuk bermain permainan ini dan belajar untuk bermain cara saya kerana saya adalah pemain yang lambat matang,” katanya.