Yuttana melakukan pukulan cemerlang 68 untuk menduduki tempat teratas kategori Lelaki 15-18 tahun pada pusingan pembukaan kejohanan edisi ke-13 itu di Glenmarie Golf and Country Club.


Pada pusingan hari ini, Yuttana berkata beliau sangat berpuas hati dengan prestasinya dalam penampilan sulung pada kejohanan di Malaysia.


"Saya merasakan cukup bagus hari ini. Pukulan dilakukan juga baik dan saya sangat gembira dengan permainan saya. Saya akan memberi tumpuan satu demi satu pukulan dan berharap dapat melakukan terbaik esok," katanya seperti dipetik dalam kenyataan dikeluarkan AmBank hari ini.

Dalam pada itu, Zhang menampilkan prestasi terpuji selepas mencatat 69 pukulan pada pusingan pertama kategori perempuan 15-18 tahun, manakala Winnie Ng muncul pemain terbaik Malaysia apabila menduduki tempat keempat.


Sejumlah 146 pemain dari lapan negara mengambil bahagian pada kejohanan berlangsung selama tiga hari itu yang mempertandingkan enam kategori - Lelaki dan Wanita A (15-18 tahun), Lelaki dan Wanita B (13-14 tahun) serta Lelaki dan Wanita C (10-12 tahun).

Peserta adalah dari India, Thailand, Australia, China Indonesia, Taiwan, Korea Selatan dan tuan rumah Malaysia.


Pemain terbaik pada kejohanan itu akan dipilih menerima lima biasiswa golf yang ditawarkan Akademi Golf Hills di Amerika Syarikat, menyaksikan seorang pemain ditawarkan biasiswa selama setahun, manakala empat pemain lain ditawarkan biasiswa bagi tempoh sebulan. - BERNAMA