Kejohanan tajaan Kumpulan CK East yang menawarkan hadiah baucar bernilai RM300,000 kepada pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole in one) menampilkan pertembungan sang juara tahunan dari kelab-kelab golf di Malaysia dan juga Singapura.

Ekoran hujan lebat tanpa henti pada hari kedua kejohanan itu memaksa pihak penganjur menentukan kejuaraan pada skor hari pertama permainan bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Gross, Nett dan Senior.

Pemain senior dari Kelab Golf Staffield, Low Suck Sun, 62, muncul juara kategori Gross dengan catatan 73 pukulan, dan juara dari Kelab Golf Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zalani Khuzaimah pula menjuarai kategori Nett dengan 70 pukulan. Manakala Lim Kian Chong juara bagi kategori Senior.

Sementara itu, pemain golf remaja perempuan dari Sarawak, Angel Hii, 14, yang bermain pada handikap 2, muncul juara bagi kategori Wanita selepas mengumpul 77 pukulan keseluruhan.

Ketiga-tiga pemenang menyarungkan jaket hijau persis kejohanan Master Amerika Syarikat (AS Master).

Hadiah kepada semua juara disampaikan oleh Pengarah Urusan CK East Group, Ng Chong Kiat.

Bagaimanapun, baucar bernilai RM300,000 gagal dimenangi apabila tiada seorang pun peserta grand final yang berjaya melakukan pukulan ‘hole in one’. - ONLINE

-----------------------

CAPTION

JUARA kategori Senior, Lim Kian Chong (dua dari kiri), Angel Hii (tengah) (Juara Wanita), Low Suck Sun (dua dari kanan) (Juara Lelaki) bersama hadiah masing-masing bergambar dengan Pengarang Besar Majalah Golf Malaysia, Andrew Ng dan Ng Chong Kiat.