Dengan rasa penuh keprihatinan dan persaudaraan, Persatuan Jawa Melayu (Pejam) dan DNeX, bergabung mencari dana bagi membantu mangsa tsunami di Palu dengan menganjurkan kejohanan golf amal - Palu Relief Golf 2018 di Kelab Golf Glenmarie, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dalam kejohanan golf amal yang disertai 120 orang itu, pihak Pejam dan DNex berjaya mengumpul dana lebih RM700,000 hasil sumbangan badan-badan korporat, sektor swasta dan juga individu, dan sumbangan tersebut diserahkan kepada Mercy Malaysia Tabung Bencana Palu dan Insaf Malaysia.

Menurut Presiden Pejam, Datuk Ir. Rosli Daud, Palu Relief Golf 2018 terhasil dari aspirasi rasa simpati, peduli dan ingin membantu atas dasar kemanusiaan tanpa ada had pada agama dan bangsa dan sempadan negara.

Katanya, acara kali ini amat mencabar sekali kerana ianya tercetus hanya tiga minggu yang lalu, namun hasil kerja keras Pejam dan DNex 
serta Kelab Golf Glenmarie selaku tuan rumah, sambutan peserta golf amat menggalakkan.

“Melihat kepada sambutan yang luar biasa, kita terpaksa mengehadkan kepada 120 orang sahaja. Kita juga tidak menduga akan mendapat kutipan lebih RM700,000 kerana sasaran awal kita hanya RM200,000 sahaja.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penyumbang derma - DNeX, GoHalal, BP Malaysia,
MDA Builders Sdn. Bhd. dan Glenmarie yang juga selaku tuan rumah. Pejam adalah ahli kelab golf Glenmerie yang akan mengadakan acara golf amal tahunan secara lazimnya dengan kerjasama DNeX sejak dari 2012,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut di Kelab Golf Glenmarie, di sini, baru-baru ini.

Serahan sumbangan kepada Mercy dan Insaf disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzwan Mohd. Yusof.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin berkata, pihaknya berasa perlu untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya dalam kejadian seperti di Palu yang mengorbankan ribuan nyawa dan harta benda.

“DNeX menyumbang sumbang dalam bentuk kewangan dan juga barangan dan kita berikan terus kepada Mercy dan juga kepada lain-lain NGO. Sumbangan sebegini tidak hanya kepada mangsa-mangsa Palu tetapi juga kepada lain-lain mangsa yang memerlukan bantuan.

“Seperti tahun lepas DNeX hulurkan sumbangan bagi membantu umat Islam di luar negara seperti Afghanistan, Syria dan beberapa negara lain lagi, selain bantuan dalam negara. Kita komited untuk terus membantu Mercy Malaysia selama mana yang diperlukan dengan menghulurkan bantuan setakat mana yang kita mampu,” katanya.

Daripada jumlah kutipan dana melebihi RM700,000 itu, DNeX merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM500,000.

Dana itu akan disalurkan secara berperingkat iaitu RM100,000 setiap tahun bermula tahun ini sehingga tahun 2022.