Jangkaan hujan pada se­belah petang dan kadangkala pada waktu pagi pastinya akan mengganggu kelancaran pertandingan dengan terdapat kemungkinan permainan akan ditangguhkan sekiranya keadaan menjadi buruk.

Juara bertahan CIMB Classic, Pat Perez mengakui keada­an lembab di negara ini mungkin akan memberikan cabaran kepada pemain termasuk dirinya.

Katanya, dia biasa dengan cuaca panas tetapi tidak biasa dengan cuaca lembab seperti di Malaysia.

“Kami biasa dengan musim panas tetapi kami tidak pernah merasai keadaan lembab sepanjang hari seperti di sini, jadi saya perlu minum banyak air selain memperlahankan sedikit permainan bagi me­nyimpan tenaga.

“Dalam keadaan cuaca yang sukar dijangka seperti ini, saya boleh menjangkakan apa (cabaran) yang akan berlaku,” katanya.

Dalam edisi lalu Perez me­lakukan catatan 264 pukulan, 24 di bawah par untuk muncul juara kejohanan bernilai AS$7 juta (RM29.06 juta), yang mendapat pengiktirafan bersama Jelajah PGA dan Jelajah Asia selain menjadi satu-satu­nya kejohanan di Asia Tenggara yang menawarkan mata Piala FedEx.