Ketika Eropah kelihatan akan meraih kemenangan mudah, dua pasangan terakhir Asia termasuk wakil Malaysia, Nicholas Fung mengecewakan dua pasa­ngan lawan untuk memastikan persaingan hari ini tamat de­ngan keputusan seri 3-3 sekali gus membolehkan Asia kekal selaku pendahulu dengan mengumpul 6 1/2 mata keseluruhan berbanding Eropah dengan 5 1/2 mata.

Kapten Asia, Arjun Atwal berkata, pasukannya amat bertuah kerana memiliki ramai pemain yang cemerlang ketika melakukan putt dalam persaingan hari ini.

“Putt amat penting dan saya beruntung kerana kebanyakan pemain melakukannya dengan baik ketika di atas green.

“Untuk esok saya harap semua pemain dapat mempamerkan kesemua kekuatan mereka bagi memenangi persaingan pada hari terakhir dengan pemain dari Malaysia, Nicholas Fung memikul tanggungjawab sebagai pemain pertama,” kata Arjun dalam sidang akhbar selepas tamat persaingan hari kedua hari ini.

Pasukan Eropah bermula de­ngan baik hari ini apabila berjaya memenangi dua perlawanan awal walaupun berdepan cuaca hujan renyai pada sebelah pagi.

Gandingan Tommy Fleetwood-Henrick Stenson menjadi penyumbang mata pertama pasukan Eropah apabila memenangi persaingan dengan keputusan 3&2 ke atas pasangan dari India, SSP Chawrasia-Anirban Lahiri.

Bekas pemain No.3 dunia Paul Casey dan pasangannya Tyrrell Hatton turut cemerlang apabila tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Kiradech Aphibarnrat-Byeonghun An de­ngan keputusan 2&1.

Mata pertama pasukan Asia dalam aksi foursome hadir menerusi gandingan Gavin Green-Yuta Ikeda yang terpaksa bekerja keras hingga lubang 18 untuk meraih kemenangan dengan ke­lebihan satu lubang (1up) ke atas pasangan Rafa Cabrera Bello-Alexander Levy.

Eropah kembali mendahului apabila meraih kemena­ngan dalam perlawanan keempat menerusi pasangan Matthew Fitzpatrick-Thomas Pieters de­ngan keputusan 3&2 menewaskan Poom Saksansin-Sunghoon Kang untuk mendahului 3-1.

Kebangkitan yang dipamerkan oleh pasukan Eropah tidak bertahan lama apabila Asia berjaya menyekat dalam dua perlawanan terakhir sekali gus seri untuk aksi hari ini.

Dua mata penuh terakhir pa­sukan Asia diperoleh menerusi gandingan Phachara Khongwatmai-Hideto Tanihara yang memenangi perlawanan kelima dengan keputusan 2&1 menewaskan Paul Dunne-Alex Noren.

Pemain berpengalaman negara, Nicholas bersama pasangannya Li Haotong turut menyumbang mata penuh buat Asia untuk menewaskan lawan mereka Ross Fisher-Bernd Wiesberger dengan keputusan 3&1.

Esok Piala EurAsia 2018 akan bersambung dengan perlawanan mengikut format individu yang dijangka berlangsung sengit.