Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu menjangkakan laluannya sukar kerana bakal berdepan dengan pemain hebat termasuk rakan senegaranya yang juga juara dua kali Jelajah Asia, Thaworn Wiratchant selain Anirban Lahiri dari India.

Mengakui berasa teruja kembali ke sini, Pariya berkata, jika dapat mempertahankan kejuaraannya ia merupakan pengalaman manis bagi dirinya.

"Sangat bagus untuk kembali ke dalam kejohanan ini dan jika menang sekali lagi, pastinya saya rasa lebih berpuas hati. Bagaimanapun, saya rasa pemain-pemain yang bertanding dalam kejohanan kali ini tampak lebih hebat dan pencapaian mereka cukup baik selain memenangi banyak kejuaraan.

"Jadi, ini akan menjadi cabaran besar bagi saya. Saya yakin dapat buat yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar di Kelab Golf Seri Selangor, di sini semalam.

Kejohanan Selangor Masters kali ini menerima tajaan utama daripada Worldwide Holdings dengan sumbangan bernilai RM1.5 juta.

Selain itu, kejohanan selama empat hari itu turut menerima penajaan daripada beberapa organisasi lain yang menjadikan nilai keseluruhan tajaan berjumlah RM3 juta.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi penyumbang kedua terbesar iaitu sebanyak RM500,000 dan beberapa pihak lain.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut hadir berkata, kejohanan kali ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak penaja kerana pertandingannya yang kian menambat hati seluruh peminat golf tempatan dan antarabangsa.

Malah katanya, penganjuran kali ini memberi impak yang besar kepada siri jelajah tersebut.

"Selangor Masters 2014 merupakan pertandingan yang membawa himpunan pemain-pemain profesional dalam dan luar negara yang mana ia mempunyai standard tersendiri.

"Setiap tahun, kita akan melihat senarai pemain antarabangsa yang datang termasuk dari Eropah, Amerika Syarikat mahupun rantau Asia bagi memberi saingan," katanya.