Beraksi pada kejohanan ketiganya tahun ini selepas berehat lapan bulan akibat kecederaan lutut, Woods mengumpul catatan bercampur-campur, tiga birdie bersama dua bogey untuk menamatkan permainan dengan lima pukulan di belakang pendahulu, Sean O'Hair.

Pemain Amerika Syarikat, O'Hair yang berkongsi tempat ketiga kejohanan di Bay Hill tahun lalu, selepas mencatat pukulan terendah iaitu 63 di pusingan ketiga, mendahului saingan dengan kelebihan tiga pukulan, cemerlang apabila melakukan enam birdie untuk 65 pukulan.

Walaupun O'Hair melakukan bogey di par empat lubang sembilan, dia berjaya mengawal permainan untuk catatan keseluruhan lapan bawah par 132.

Pendahulu pusingan pertama, Jason Gore dari Amerika Syarikat mengumpul 70 pukulan dan tercicir di tempat kedua, satu pukulan mengatasi pemain Australia Robert Allenby (65) dan Ryuji Imada (66).

Woods tetap gembira dengan catatannya apabila menduduki tempat kelima dengan tiga bawah par keseluruhan.

''Saya bermain terlalu berhati-hati. Saya tidak memukul bola dengan baik seperti mana biasa, namun saya tetap berpuas hati kerana menyempurnakan dua chip, ia menyeronokkan,'' kata Woods.

Pada permainan kelmarin, Woods menyempurnakan putting dari jarak tujuh meter untuk memulakan birdie di par empat lubang 10.

Walaupun dia berpeluang melakukan birdie di lubang 12, Woods sebaliknya melakukan tiga putting untuk bogey di lubang 16.

O'Hair muncul pendahulu selepas mencatat empat birdie pada lapan lubang pertama.

Ketika berada pada catatan empat bawah par 31, pemain berusia 26 tahun itu mencatat birdie di lubang enam dan lapan, di mana dia menyempurnakan putting dari jarak hampir dua meter.

"Saya memukul bola dengan baik dan ia banyak memberi peluang untuk saya melakukan birdie.

''Pada keseluruhan saya telah melakukan semuanya dengan baik hari ini,'' kata juara berganda kejohanan Jelajah PGA itu.

Sementara itu, juara Terbuka Britain, Padraig Harrington mencatat 68 pukulan untuk berkongsi tempat keenam dengan dua bawah par, enam pukulan di belakang O'Hair. - Reuters