Juara Terbuka Britain itu yang ketika ini menghuni ranking ketujuh dunia memasuki hari terakhir kejohanan dengan mengumpul 203 pukulan keseluruhan, 13 b awah par manakala Woods yang memburu jaket hijau (juara) buat kali kelima terikat di tempat kedua bersama Finau dengan 11 bawah par 205.

Kata Molinari, dia kini harus mengekalkan rentak permainannya dalam masa sama sedar saingan pusingan keempat bakal berlangsung lebih tekanan terutama cabaran daripada bekas pemain No.1 dunia Woods.

“Saya bermain lebih baik pada Jumaat namun hari ini mental saya lebih bagus.

“Ada beberapa pukulan putt yang menyelamatkan saya dalam masa sama aksi di sembilan lubang kedua juga memberangsangkan.

“Kini tumpuan saya adalah untuk terus mengekalkan jumlah pukulan lebih sedikit sewaktu pusingan keempat,” kata Molinari.

Sementara itu, Woods berkata, semua pukulannya semakin bertambah baik dalam kejohanan di Kelab Golf Augusta National dan akan memanfaatkan setiap peluang untuk bergelar juara.

“Sasaran hari ini ialah untuk bermula pada enam di bawah par bagi memastikan saya dapat meningkat kepada dua angka dan mujurlah saya dapat melakukannya.”

“Ketika ini saya masih berada dalam kelompok teratas malah peluang untuk memenangi kejuaraan utama masih terbuka buat saya,” kata Woods.

Dalam aksi pusingan ketiga Woods mencatat lima di bawah par yang menyaksikan dia berupaya membenam enam birdie. - AGENSI