P. JEGANATHAN (tengah) bersama Mohd. Azmi Mahmud (kanan) dan Jamaluddin Mat Desa yang layak ke grand final Prudential Astro Master 2018 di Phhom Penh, Kemboja.

Dalam pusingan akhir kelayakan kejohanan menuju ke grand final itu, yang disertai seramai 128 pemain, Mohd. Azmi yang bermain pada handikap 3 muncul juara kategori gross selepas mencatat 73 pukulan di lapangan Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kejuaraan ini menambahkan rekod kemenangan beliau buat kali kelima sejak mula menyertai kejohanan amatur Prudential Astro Master pada 1998.

“Alhamdulillah...pastinya saya gembira dengan kemenangan ini, sekali gus layak ke Phnom Penh, apatah lagi saya tidak pernah bermain di sana (Kemboja). Selama hampir 10 tahun saya menyertai kejohanan ini, saya rasa ia adalah salah satu daripada beberapa acara yang memberikan semangat golf kompetitif sejati,” katanya.

Selain Azmi, turut layak ke Phnom Penh ialah pemain handikap 8 dari Kelab Golf Meru, Jamaluddin Mat Desa selepas muncul juara bagi kategori nett.

“Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan menang hari ini dan layak ke Phnom Penh, terutamanya dengan kedudukan pin yang sukar, ditambah lagi dengan permukaan green yang laju,” ujarnya gembira.

Sementara itu, Abdussamad Abdul Razak (12) memenangi gelaran juara Medal A apabila dia kembali dengan skor 67 mata.

Dalam kategori Medal B pula, pemain handikap 14, Wong Seng Wah dinobatkan sebagai pemenang selepas mencatat skor 70 nett, manakala Radzwan Wan Chik (24) memenangi Medal C dengan 67 nett.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Kejohanan Prudential Astro Master, P. Jeganathan.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain yang telah menyertai kejohanan Prudential Astro Master pada tahun ini. Selepas 10 pusingan kelayakan yang berlangsung di beberapa padang golf terbaik di negara ini, kami tidak sabar untuk berkunjung ke grand final di Phnom Penh, Kemboja,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.