Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji berkata, kejohanan itu merupakan pertandingan yang mendapat pengiktirafan daripada Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang menawarkan mata ranking dunia kepada peserta yang menamatkan saingan di kedudukan enam teratas.

Katanya, kejohanan itu merupakan platform terbaik untuk pemain profesional negara memperbaiki kedudukan ranking kerana tidak ramai pemain yang mampu menyertai Jelajah Asia secara terus kerana kekurangan dana.

“Dengan adanya kejohanan yang mendapat pengiktirafan ADT ini, Malaysia telah berjaya menghantar pemain ke Sukan Olimpik Rio 2016 dan kami juga berhasrat untuk menghantar pemain ke Tokyo 2020 tetapi memerlukan sokongan berterusan daripada syarikat korporat seperti MNRB.

“Berdasarkan kepada kalendar penganjuran kejohanan ADT, lebih daripada 70 peratus kejohanan berlangsung di Malaysia.

“Jelajah USPGA, Jelajah Eropah dan Jelajah Asia mengakui pembangunan pemain Malaysia menerusi ADT ini sangat menggalakkan,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan tajaan itu, di sini hari ini.

Sejak penganjuran Kejohanan ADT diadakan, Malaysia kini memiliki lebih daripada 15 pemain yang berada dalam senarai ranking dunia.

Pengerusi Kumpulan MNRB, Datuk Sharkawi Alis berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan sokongan kepada PGM dalam meneruskan pembangunan sukan golf.

“Sangat penting untuk pemain kita diberikan platform untuk mengembangkan bakat mereka selain memupuk semangat ingin bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE