Perlawanan yang dikatakan sebagai pertembungan terhebat itu akan berlangsung di lapangan Shadow Creek di Las Vegas, esok, dan orang ramai tidak dibenarkan masuk sebaliknya disiarkan menerusi rangkaian berbayar Amerika Syarikat (AS), tetapi Sky Sport boleh menyiarkannya di United Kingdom.

Gambar Mickleson dan Woods duduk di belakang meja yang dipenuhi duit, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat serta pemain profesional di laman sosial.

Pemain No.38 dunia, Eddie Pepperell mengkritik perkara itu di laman sosial, Twitter de­ngan menyatakan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dalam dunia golf. – AGENSI

“Seorang pemain meraih AS$9 juta (RM37.77 juta) tidak menarik. Ini adalah tindakan yang memalukan,” katanya.

Seorang lagi pemain AS, Peter Uilhein mempertikaikan aksi itu kerana Woods yang kini berusia 42 tahun berada di kedudukan kedua senarai Forbes sebagai atlet berpendapatan tertinggi di dunia dengan AS$1.7 bilion (RM7.13 bilion) dan Mickleson di tempat ke-48 menerusi pendapatan AS$815 juta (RM3.42 bilion).

Turut mengkritik perkara itu ialah Rory McIlroy, Justin Thomas, Nick Faldo dan legenda golf dunia, Gary Player yang menyifatkan perkara tersebut tidak wajar berlaku.

“Sejujurnya, perlawanan Tiger dan Phil tidak relevan atau berkaitan apa-apa,” kata Player yang merupakan juara sembilan kali kejohanan utama dan juara Masters tiga kali.

Mickleson, bagaimanapun, menegaskan perlawanan itu perlu dilaksanakan dan menyifatkan jumlah wang yang besar turut memberikan tekanan kepada dia serta Woods. - AGENSI