Mickelson menamatkan dua pusingan kejohanan dengan mengumpul 131 pukulan, 13 bawah par untuk meninggalkan rakan senegara dari Amerika Syarikat, Nick Watney di tempat kedua dengan kelebihan dua pukulan.

Seorang lagi pemain tuan rumah, Kenny Perry berkongsi kedudukan ketiga bersama pemain remaja Ireland, Rory McIlroy dengan 134 pukulan, 10 bawah par.

Mickelson mencatat double bogey di par empat lubang ketiga, namun aksi buruk itu berjaya diatasi dengan melakukan sembilan birdie, termasuk tiga berturut-turut di tiga lubang terakhir.

Gembira dengan permainannya semalam, pemain kidal itu percaya aksi yang dipertontonkan di Doral Golf Resort & Spa, semalam mampu menjadi persiapan terbaik menjelang Masters Amerika Syarikat bulan depan.

“Saya bermain baik minggu ini dan amat bersemangat untuk menamatkan kejohanan dengan keputusan bagus.

“Saya dapat merasakan ini adalah persiapan terbaik menjelang kejohanan Masters, saya tidak sabar untuk beraksi di Augusta,’’ kata Mickelson.

Biarpun gembira dengan permainannya, ada sesuatu yang mencuit hati Mickelson selepas menamatkan pusingan kedua, semalam melihat rakan baiknya, pemain No. 1 dunia, Tiger Woods ditinggalkan dengan 10 pukulan di belakang.

Woods bermula baik dengan mencatat birdie di lubang pertama dan keempat tetapi mencatat bogey di lubang keenam dan 10, sebelum kembali dengan memperoleh birdie di lubang 12 dan 17.

Bintang Amerika Syarikat itu yang tersingkir awal pada Kejohanan WGC-Accenture Match Play, dua minggu lalu terikat di tangga ke-26 bersama lapan lagi pemain selepas mengumpul 141 pukulan, tiga bawah par.

“Ia agak menyedihkan. Saya harap Woods akan bangkit esok dan bermain dengan lebih baik,’’ kata Mickelson.

Bagaimanapun bagi Woods, permainannya semalam lebih baik berbanding pada pusingan pertama selepas menutup saingan dengan dua bawah par 70.

Woods, yang mencatat satu bawah par 71 pada hari pertama percaya, dia masih mempamer prestasi yang baik dengan mengambil kira hanya beraksi pada kejohanan kedua selepas berehat panjang akibat pembedahan.

Sementara itu, pendahulu bersama pusingan pertama, Prayad Marksaeng dari Thailand jatuh ke kedudukan kelima selepas mencatat dua bawah par 70 untuk mengumpul 135 pukulan.

Seorang lagi pendahulu bersama pusingan pembukaan, Jeev Milkha Singh dari India terikat pada kedudukan kelapan selepas menamatkan dua pusingan dengan mengumpul 136 pukulan. – Reuters