Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian McIlroy selama 18 bulan untuk meraih gelaran juara.

Keputusan itu juga menyaksikan dia menjadi antara pemain pilihan untuk muncul juara Kejohanan Masters selepas ini.

McIlroy menampilkan aksi cemerlang untuk mengatasi pendahulu kejohanan Henrik Stenson dengan catatan 64 pukulan, lapan di bawah par pada hari terakhir.

Pemain Ireland Utara itu meraih lima birdie di enam lubang terakhir termasuk birdie dari jarak tujuh meter di lubang ke-18 untuk muncul juara Jelajah PGA pertamanya selepas kali ter­akhir melakukannya dalam Kejohanan Jelajah 2016.

“Saya sentiasa mengingatkan diri saya sejak beberapa minggu lalu bahawa saya tidak jauh dari­pada gelaran juara dan hanya memerlukan masa yang terbaik.

“Kadangkala keadaan menjadi baik selari dengan permainan dan jelas sekali semuanya menjadi terutama pukulan putt dan ini adalah hasilnya.

“Sangat menarik untuk melihat semuanya menjadi kenyata­an,” kata McIlroy selepas tamat permainan.

McIlroy tiba di Orlando de­ngan pelbagai perkara dalam fikirannya terutama selepas gagal melepasi cut dalam dua siri kejohanan Jelajah PGA awal musim ini dan keputusan terbaik ialah berkongsi kedudukan ke-20.

Selepas muncul juara, dia kini berada di landasan terbaik untuk bersaing merebut gelaran Kejohanan Masters di Augusta bulan hadapan yang merupakan medan terbaik bagi melengkapkan koleksi empat gelaran utama yang dimilikinya.

McIlroy beraksi cemerlang untuk mengumpul 270 pukulan, 18 di bawah par secara keseluruhan dan berkelebihan tiga pukulan ke atas Bryson DeChambeu dari Amerika Syarikat (AS).

Justin Rose menamatkan saingan di kedudukan ketiga manakala Stenson di kedudukan keempat.

Juara lapan kali di Bay Hill, Tiger Woods kembali menemui rentak permainnya dan menamatkan saingan dengan berkongsi kedudukan kelima. – REUTERS