Pengurus Besar PGM, Ishak Mohd. Isa berkata, sasaran tersebut dibuat bagi mengulangi pencapaian pada Sukan SEA 2001 yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas menerusi acara berpasukan lelaki.

Tambah Ishak, persiapan bagi menghadapi Sukan SEA 2017 telah berjalan secara berterusan malah sudah mempunyai calon-calon pemain yang bakal mewakili negara namun hanya akan mengumumkannya pada pertengahan Mei ini.

“Buat masa ini pemain yang menjadi sandaran kami ialah Nur Durriyah Damian dan prestasi yang dipamerkannya amat menakjubkan terutama selepas meraih kecemerlangan dalam beberapa kejohanan peringkat amatur baru-baru ini.

“Buat masa ini sasaran kami hanya satu pingat emas sahaja kerana memikirkan Thailand pasti akan menguasai acara individu dalam masa sama Singapura juga mempunyai beberapa pemain yang bagus.

“Latihan masih berterusan dengan pendedahan di lapangan yang bakal digunakan pada Sukan SEA nanti iaitu di The Mines Resort City Golf Club,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada Sukan SEA ke-29, sukan golf akan mempertandingkan dua kategori iaitu individu dan berpasukan lelaki dan wanita. - UTUSAN ONLINE