Seramai 32 orang wakil pelbagai agensi media cetak, online dan elektronik dari Malaysia dan Singapura berkampung di Kelab Golf Glenmarie bagi merebut Piala Causeway yang mula diperkenalkan pada 2008.

Menurut kapten pasukan media Malaysia, Aziz Hassan, kemenangan kali ini meletakkan media Malaysia mengatasi media Singapura dengan kelebihan 7-4 sejak piala itu diperkenalkan.

“Kejohanan ini diadakan setiap tahun bertujuan memupuk semangat dan kerjasama antara media Malaysia dengan Singapura.

“Tahun ini, kita menjadi tuan rumah dan pada tahun hadapan, giliran Singapura pula. Lokasi kejohanan nanti akan ditentukan oleh pasukan Singapura,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian Piala Causeway di Kelab Golf Glenmarie, di sini hari ini.

Sementara itu, Kapten Singapura, Benny Teo mengucapkan syabas kepada pasukan media Malaysia kerana berjaya memenangi piala tersebut.

“Kami sudah bermain dengan sebaik mungkin tetapi belum cukup untuk melawan kehebatan pasukan tuan rumah. Kami akan berusaha pada tahun hadapan untuk merampas kembali piala ini,” katanya.

Piala Causeway menggunakan format seperti Ryder Cup iaitu ‘foursome’, ‘best ball’ dan ‘single’ dan Malaysia berjaya mengatasi Singapura dengan kemenangan 18 1/2-9 1/2.

Media Malaysia dibarisi Aziz Hassan, Aminudin Azman, Ahmad Fadali Baharudin, Mohd. Suhaimi Daud, Johnathan Ponniah, Imran Mohamad Nor, Mahathir Mohamad Sidi, Ida Fahany Osman, Brian Alexis, Zaini Salihin, Brian Goh, Arep Kulal, Izahar Atan, Amirullah Andi Nur, Abd Yazid Mahad dan Pekan Ramli.