Pemain berusia 20 tahun itu berjaya meraih tujuh birdie untuk catatan 64 pukulan, tujuh di bawah par manakala Hyun Oh merekodkan 65 pukulan, enam di bawah par selepas melakukan sembilan birdie namun turut melakukan satu double bogey serta satu bogey.

Juara bertahan Shanshan Feng dari China berkongsi kedudukan ketiga bersama dua pemain lain selepas meraih lima birdie untuk catatan 66 pukulan, lima di bawah par.

Lydia memberitahu, keadaan akan sentiasa menjadi baik apabila dia melakukan birdie di lubang par-3 dan secara keseluruhannya persembahan hari ini adalah sangat positif.

Katanya, semasa berada di lapangan, dia tidak akan memikirkan catatan yang dilakukannya kerana fokus utamanya ialah mencari sebanyak mungkin birdie dan mendapatkan rentak permainan.

“Birdie di mana-mana lubang adalah sangat baik tetapi saya sangat bernasib baik kerana dapat melakukan birdie di lubang ke-17. Saya terima keputusan 64 pukulan ini dengan hati terbuka.

“Keadaan cuaca di sini juga tidak menentu. Setelah menghabiskan sembilan lubang pertama, keadaan menjadi agak gelap dan saya terfikir berapa lubang lagi yang sempat saya habiskan dan akhirnya saya berjaya menamatkan pusingan hari ini sebelum siren (hujan) dibunyikan,” katanya.

Sementara itu, Feng mengakui dia tidak begitu berpuas hati dengan pencapaiannya hari ini meskipun berjaya melakukan catatan lima di bawah par tetapi gagal menyempurnakan sejumlah besar peluang untuk menambah birdie.

“Saya banyak melepaskan peluang mendapat birdie, tetapi tidak mengapa kerana masih banyak peluang untuk melakukannya hujung minggu ini dan saya rasakan ini adalah permulaan yang baik.

“Adalah sesuatu yang menyeronokkan jika saya berjaya (mempertahankan kejuaraan). Saya sememangnya gembira untuk kembali beraksi di sini setiap tahun kerana saya rasa sangat menyenangkan apabila berada di sini,” katanya.