Pemain New Zealand itu mendahului carta kedudukan kejohanan Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LGPA) tersebut selepas mencatat tujuh bawah par 64 pada pusingan pertama itu.


Pemain berusia 20 tahun itu yang merupakan bekas pemain nombor satu dunia, menampilkan prestasi cemerlang apabila mencatat tujuh birdie tanpa melakukan bogey, untuk mengatasi pencabar terdekat, Oh Su-hyun dari Australia di tempat kedua.


"Saya melakukan pukulan baik dengan mencatat birdie pada lubang pertama...berusaha mendapatkan lebih banyak peluang melakukan birdie. Mencatat pukulan birdie secara berturut-turut di beberapa lubang terakhir di sembilan lubang pertama dan berjaya mengekalkan momentum itu di sembilan lubang kedua.


"Hari ini saya berusaha bersikap positif dan yakin. Saya merasakan prestasi baik yang dipamerkan minggu lepas benar-benar memberi saya momentum yang baik pada aksi hari ini," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, yang meraih tiga kedudukan teratas dalam lima kejohanan terakhir disertainya.


Sebelum beraksi di sini, Lydia mencatat keputusan lima kali berturut-turut dalam kelompok 25 teratas, termasuk dua kali sebagai naib juara pada musim ini.


Sementara itu, Oh Su-hyun yang pertama kali beraksi pada kejohanan berkenaan, terkejut dengan keputusan pada pusingan pertama itu, dan tidak menyangka dapat melakukan enam bawah par 65. 


"Sebenarnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, hanya mahu beraksi dengan baik pada setiap pusingan.


"Namun secara keseluruhan, saya melakukan pukulan agak baik dan hanya berdepan masalah kecil. Secara keseluruhan, prestasi saya agak baik pada pusingan pertama," kata pemain Australia berusia 21 tahun itu yang merupakan kelahiran Korea Selatan, dan mula beralih menjadi pemain profesional pada 2014.


Kejuaraan pertamanya setelah menjadi pemain profesional adalah pada Kejohanan Wanita Masters Volvik RACV 2015, yang menyaksikan beliau meraih dua tahun pengecualian pada Jelajah Wanita Eropah.


Su-Hyun yang bermula di lubang ke-10, bermula dengan baik apabila melakukan lima birdie, namun pada sembilan lubang kedua, melakukan double bogey di lubang pertama, dan kemudian bangkit dengan tiga birdie berturut-turut. Namun, pada lubang keenam, beliau melakukan bogey tetapi dapat melakukan birdie semula di lubang kelapan.


Juara bertahan, Feng Shanshan dari China, Madelene Sagstrom (Sweden) dan Ji Eun-Hee (Korea Selatan), berkongsi di tempat ketiga dengan masing-masing melakukan lima bawah par 66. 


"Saya terlepas banyak peluang melakukan birdie. Ia sesuatu yang baik untuk disempurnakan. Ini bermakna, saya boleh mencatat lebih banyak pukulan birdie pada hujung minggu ini," kata Shanshan yang muncul juara pada kejohanan berkenaan pada edisi 2014 dan 2016.


Sementara itu, pemain nombor satu dunia Ryu So-yeon dari Korea Selatan di kedudukan ke-41 bersama 13 pemain lain , termasuk tiga pemain Malaysia - Nur Durriyah Damian, Natasha Andrea Onn dan Winnie Ng -dengan masing-masing melakukan satu atas par 72. - BERNAMA