Leun Kwang muncul juara kejohanan empat hari itu selepas melakukan par di lubang 18 dalam play-off dengan Amir Nazrin Jailani yang melakukan bogey selepas mereka terikat de­ngan catatan keseluruhan 272 pukulan, 12 di bawah par.

Selaku juara Leun Kwang membawa pulang RM30,000 serta slot automatik untuk menyertai kejohanan berprestij CIMB Classic 2018 pada 11 hingga 14 Oktober ini.

Leun Kwang, 23, berkata dia sudah lama ingin beraksi bersama pemain terkemuka dunia dalam CIMB Classic dan berjaya menyertainya um­pama mimpi menjadi kenyataan.

“Semua pemain negara mahu menyertai kejohanan berprestij itu termasuk saya dan saya berjaya meraih peluang tersebut selepas berdepan cabaran hebat dalam play-off hari ini.

“Amir telah memberikan persaingan sengit kepada saya sepanjang kejohanan ini tetapi saya dapat kekal tenang untuk menghadapi­nya sekali gus memudahkan setiap pukulan dilakukan dengan sempurna,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di sini, hari ini.

Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Mohamad Irfan Yusof yang menamatkan cabaran dengan catatan 277 pukulan, tujuh di bawah par.

Satu lagi slot untuk pemain Malaysia dalam CIMB Classic 2018 sudah pasti menjadi milik Gavin Kyle Green berdasarkan ranking dunia yang menjadikan dia sebagai terbaik negara ketika ini.