Sejak mula diperkenalkan pada 2010, kejohanan bernilai AS$7 juta (RM29.06 juta) itu dikuasai sepenuhnya pemain-pemain dari negara Uncle Sam itu bermula dengan Ben Crane, Bo Van Pelt (2011), Nick Watney (2012), Ryan Moore (2013, 2014), Justin Thomas (2015, 2016) dan Pat Perez (2017).

Aksi di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini hari ini me­nyaksikan Leishman, Shubankar dan Woodland ma­sing-masing mengumpul 197 pukulan, 19 di bawah par dan diikuti rapat pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen yang ketinggalan dua pukulan de­ngan catatan 199 pukulan, 17 di bawah par secara keseluruhan.

Leishman berkata, peluang untuk merebut kejuaraan edisi kali ini terbuka kepada semua kerana kesemua pemain beraksi dengan baik berdasarkan kepada catatan yang diraih.

Katanya, bagi memastikan kejuaraan menjadi miliknya esok, dia perlu mencatatkan keputusan yang begitu rendah seperti 25 di bawah par secara keseluruhan tetapi mengakui semuanya bergantung kepada keadaan cuaca.

Aksi hari terakhir menyaksikan Leishman, Shubankar dan Woodland akan beraksi dalam satu kumpulan.

“Kami akan bermain bersama esok, tidak kisah sama ada pemain dari kumpulan kami atau kumpulan lain menjadi juara...tetapi saya harap, saya akan menjadi juara esok tetapi saya perlu beraksi cemerlang.

“Pukulan 25 di bawah par secara ke­seluruhan akan menjadi permulaan yang baik tetapi bergantung kepada cuaca kerana keadaan angin akan mengganggu pin. Apa juga yang berlaku esok, saya harap dapat bermain cemerlang,” katanya.